Monday 18 October 2010

Hari Yang Berlalu


Subhanallah...

Begitu cepatnya masa berlalu meninggalkan kita. Antara sedar mahupun tidak, saya sudah setahun berada di negara Mesir, bumi para anbiya' ini. Seakan-akan baru semalam saya menjejakkan kaki ke sini.

Banyak sekali pengalaman yang dilalui selama setahun berada di sini. Ada pengalaman yang sedih, gembira dan bermacam-macam perasaan yang tidak dapat digambarkan.

Perangai arab memang sangat banyak yang diingati. Ada suatu ketika, seorang pakcik arab menumbuk geraham saya yang belah kanan. Masyaallah, hanya Allah Subhanhu Wa Taala  sahaja Yang Maha Tahu kemarahan saya pada waktu itu. Tetapi apa boleh buat, sudah nasib badan. Mungkin pakcik tu tak sihat agaknya.

Kemudian, ada seorang bilal masjid ni. Pada suatu hari dia bagi saya 500 junaih yang anggarannya lebih kurang 300 ringgit Malaysia. Dia kata kongsi dengan sahabat di rumah. Baik sungguh pakcik ni walaupun saya menolaknya, tetapi dia tetap nak bagi kerana katanya berkat Insyaallah.
Memang sangat mencabar jika kita berada di bumi Mesir ini kerana ia adalah bumi tarbiyyah yang mampu mendidik diri kita yang angkuh lagi sombong ini.

Kadang-kadang saya sedih mengenangkan keadaan saya yang lemah dan tidak berdaya ini. Tetapi, disebabkan ilmu adalah tujuan utama saya datang ke sini, maka saya kuatkan semangat yang semakin hari semakin luntur.

Seorang sahabat saya ada mengatakan: "Akhi, anta ini merupakan salah satu mata-mata rantai pejuang Islam. Jika anta tak bawa Islam, siapa lagi yang akan membawanya?". Kata-kata ini cukup berkesan dalam hati saya kerana saya melihat dewasa ini Islam seakan-akan hanya tinggal nama sahaja, tetapi tidak diamalkan. Dan semakin ramai orang yang menjauhkan dirinya daripada Islam walaupun berasal dari keluarga Islam.

Kenapa hal ini terjadi? Ini tidak lain dan tidak bukan kerana orang yang mengetahui tentang agama Islam tidak mahu menyampaikannya kepada orang lain. Dan tarbiyyah semakin kurang di kalangan kita sekarang ini.

Jadi, untuk mengatasinya kita sama-sama hendaklah memantapkan tarbiyyah diri kita dan seru kepada orang lain pula. Insyaallah, Allah akan membantu kita.

Sekian, terima kasih.